Ahlan wa Sahlan

Sunday, 27 November 2011

Sirah Tahun 5

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ
Peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah.

RINGKASAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

SEBELUM ISRAK DAN MIKRAJ

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

SEMASA ISRAK ( PERJALANAN DARI MASJIDIL-HARAM KE MASJIDIL-AQSA ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

= Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

= Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

= Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).


= Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

= Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

= Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

= Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

= Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

= Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

= Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

= Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

= Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

= Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


SEMASA MIKRAJ ( NAIK KE HADHRATUL-QUDUS MENEMUI ALLAH ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

SELEPAS MIKRAJ

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

KESIMPULANNYA:
Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).

Saturday, 12 November 2011

Pendidikan Islam Tahun 5- Aqidah

Sifat Allah
Al-Iradah (Berkehendak)
إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ
Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa Yang ia kehendaki. (al-Ma’idah 5: 1)
إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ
Sesungguhnya Allah melakukan apa Yang dikehendaki-Nya. (al-Hajj 22: 16)
فَعَّالٌ لِمَا يُرِيدُ
Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendaki-Nya. (al-Buruj 85: 16)
إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, maka Dia hanyalah berkata: " Jadilah!". maka terjadilah ia. (Yasin 36: 82)

Ayat-ayat ini menetapkan iradah untuk Allah s.w.t. iaitu di antara sifat Allah yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan as-sunnah. Ahlus sunnah wal Jama’ah menyepakati bahawa iradah itu ada du keadaan:

I – Iradah Kauniyah, sebagaimana yang terdapat di dalam ayat berikut:
فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلإسْلامِ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ
Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa Yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang Yang tidak beriman. (al-An’am 6: 125)

Iaitu iradah yang menjadi persamaan masyi’ah (kehendak Allah), tidak ada bezanya antara masyi’ah dan iradah kauniyah.

II – Iradah Syar’iyah, sebagaimana terdapat dalam ayat:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
(dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (al-Baqarah 2: 185)

Perbezaan antara keduanya ialah:

- Iradah kauniyah pasti terjadi, sedangkan iradah syar’iyah tidak harus terjadi; iaitu boleh terjadi, boleh juga tidak.

- Iradah kauniyah meliputi yang baik dan yang buruk, yang bermanfaat dan yang berbahaya bahkan meliputi segala sesuatu. Sedangkan iradah syar’iyah hanya terdapat pada yang baik dan yang bermanfaat saja.

- Iradah kauniyah tidak mengharuskan mahabbah (cinta Allah). Terkadang Allah menghendaki terjadinya sesuatu yang tidak Dia cintai, tetapi dari hal tersebut akan lahir sesuatu yang dicintai Allah. Seperti penciptaan Iblis dan segala yang jahat lainnya untuk tujuan ujian dan cubaan. Adapun iradah syar’iyah maka di antara kesan atau akibatnya adalah mahabbah Allah, kerana Allah tidak menginginkan dengannya kecuali sesuatu yang dicintai-Nya, seperti taat dan pahala.

Tuesday, 11 October 2011

Rukun Islam

Assalamualaikum w.b.t


Rukun Islam ada lima perkara iaitu :


1. Mengucap Dua Kalimah Syahadah. 


Pintu masuk Islam adalah kalimah syahadah. Ini merupakan fakta yang diketahui umum. Apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, maka sucilah dia dari dosa-dosanya yang lepas, diharamkan dirinya untuk dibunuh oleh Muslim yang lain, wajib ke atasnya solat lima waktu, berpuasa, zakat dan haji. Wajib juga ke atasnya menurut segala yang diarahkan Allah swt, dan juga meninggalkan segala yang dilarang Allah swt.
Dua kalimah yang pendek dan ringkas ini, nyata-nyata mempunyai pengertian dan falsafah yang sangat mendalam, yang mana mampu menambahkan keimanan, keyakinan dan iktiqad seorang Muslim. Di dalam tulisan kali ini, penulis ingin mengajak kita bersama menghayati falsafah dan makna dua kalimah syahadah La Ilaha Illallah, Muhammadur Rasulullah.
Kalimah syahadah La Ilaha Ilallah, terbahagi kepada dua bahagian:-
1) La ilaaha (An-Nafyu, iaitu penafian)
Selalu diertikan dengan ‘tiada Tuhan’. Namun pengertian ini tidak begitu tepat, kerana perkataan ‘Tuhan’ di dalam bahasa Arab ialah ‘Ar-Rob’, sebagaimana di dalam surah Al-Fatihah, “Alhamdulillahi rabbil ‘alamin”, ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam’. Adapun perkataan ‘ilah’, sebagaimana di dalam syahadah bermaksud ‘Tuhan yang selayaknya disembah’. Oleh itu, la ilaaha bermaksud ‘tiada Tuhan yang selayaknnya disembah’.
Adapun bahagian pertama kita kenali sebagai An-Nafyu, iaitu penafian, kerana di dalamnya kita menafikan akan wujud sebarang Tuhan yang layak disembah, dan ditujukan segala amal ibadah.
2) Illa Allah (Al-Itsbaat, iaitu penetapan)
Diertikan dengan maksud ‘melainkan Allah’. Terdapat dua pandangan dari mana datangnya kalimah nama ‘Allah’ itu sendiri, iaitu:-
i) pendapat pertama, mengatakan bahawa perkataan Allah itu berasal dari perkataan ‘Ilah’ yang penulis tuliskan di atas. Dari kata akar ‘Ilah’, datang perkataan Allah. Pendapat ini bukan pendapat yang tepat.
ii) Pendapat kedua, mengatakan bahawa perkataan Allah itu singular, dan plural bagi perkataan Allah ialah ‘Ilah’. Ini juga merupakan pendapat yang kurang tepat.
iii) Adapun pandangan yang ketiga, merupakan pendapat Al-Imam Syafi’e rahimahullah, dan juga majority para ‘ulama, iaitu perkataan Allah itu tiada kata asalnya, dan tiada sebarang perkataan lain yang terbit dari perkataan Allah. Bahkan Allah itu merupakan namanya yang agung, sebagaimana Dia memperkenalkan diriNya kepada Adam, dan juga sebagaimana Dia menggelarkan diriNya di dalam kitab-kitab yang diturunkanNya. Ini merupakan pandangan yang paling tepat dan paling cantik, bersesuaian dengan Allah yang Maha Esa dan mutlak kuasaNya ke atas segala sesuatu, selayaknya dengan kemuliaanNya.
Rukun atau bahagian kedua ini, dipanggil ‘Al-Itsbaat’, iaitu penetapan, kerana di dalamnya kita menetapkan kepercayaan ‘selain Allah’. Bahagian kedua ini, datang secara bersusulan dengan bahagian yang pertama, ‘La Ilaaha’ tadi.
Mengapakah kalimah syahadah ini datang dengan dua bahagian, iaitu penafian, dan kemudian penetapan?
Ini adalah kerana pernyataan yang datang secara gandingan penafian dan penetapan, merupakan pernyataan yang paling kukuh dan tepat. Sebagai contoh, kita katakan,
‘Ahmad ada di dalam kelas’.
Pernyataan ini menyatakan bahawa Ahmad ada di dalam kelas, akan tetapi dalam masa yang sama ia tidak menafikan kehadiran orang lain, atau dengan kata lain, mungkin bersama-sama Ahmad itu, ada orang yang lain di dalam kelas tersebut. Begitu juga kita katakan,
‘Tiada sesiapa pun di dalam kelas’.
Kenyataan ini menyatakan bahawa tiada sesiapapun di dalam kelas, iaitu menafikan secara 100% kehadiran seorang manusia pun di dalam kelas.
Maka apabila kita gandingkan, ianya menjadi,
‘Tiada seorang sesiapapun di dalam kelas tersebut, melainkan Ahmad’.
Secara tepat dan mutlak, kita fahami dari ayat ini bahawa Ahmad ada di dalam kelas, wujud, dan tiada seorangpun manusia yang lain selain dari Ahmad di dalam kelas. Struktur yang kukuh inilah yang digunakan Allah swt di dalam kalimah syahadah, iaitu,
‘Tiada Tuhan yang selayaknya ditujukan segala bentuk ibadah, melainkan Allah’.
Kerana itulah, kita katakan bahawa pernyataan ini adalah struktur yang paling kukuh di dalam menetapkan tiada Tuhan yang selayaknya disembah, melainkan Allah.
Saya  merasakan juga bahawa penting untuk kita ketahui tauhid apakah yang terkandung di dalam syahadah ini. Sebelum itu, secara ringkas akan penulis bawakan tiga pembahagian tauhid, iaitu:-
i) tauhid rububiyah, iaitu tauhid ketuhanan. Sebagaimana namanya, tauhid ini merupakan keimanan manusia bahawa Allah lah Tuhan yang menciptakan bumi dan langit serta segala apa yang ada di dalamnya, seluruh perkara ghaib, dan juga sekalian alam-alam yang kita ketahui dan tidak ketahui, seperti alam rahim, alam roh, alam akhirat, alam barzakh, alam manusia, alam jin dan lain-lain lagi. Tauhid ini merupakan tauhid yang am, kerana hatta orang-orang kafir juga terkandung di dalam hati mereka tauhid ini. Firman Allah swt, “Dan jikalau engkau bertanya kepada mereka (hai Muhammad), ‘siapakah yang mencipta bumi dan langit?’ Secara pasti, mereka akan menjawab ‘Allah’”.
Begitu juga dengan hal Iblis, dia juga beriman dengan tauhid ini. Firman Allah swt tatkala Iblis enggan sujud kepada Adam as, “Engkau (Ya Allah) MENCIPTAKAN DIA (ADAM) DARI TANAH, DAN KAU CIPTAKAN AKU DARI API”. Perhatikan dengan teliti bahawa secara langsung Iblis mengiktiraf bahawa Allah swt lah yang telah menciptakan dirinya dan juga Adam as.
Oleh kerana itu, bukan tauhid ini yang kita katakana terkandung di dalam syahadah kita ‘La Ilaaha Illa Allah’.
ii) tauhid asma’ wa as-sifaat, iaitu tauhid nama-nama dan sifat-sifat Allah. Tauhid ini bermakna kita beriman dan mengakui bahawa Allah mempunyai sifat-sifat dan nama-nama yang baik, 99 yang kita ketahui, dan juga nama-nama dan sifat-sifat Allah yang ghaib dan tidak kita ketahui. Kita hanya mengetahui 99 daripadanya, kerana itu sahaja jumlah yang dibertahukan kepada kita oleh Allah di dalam Al-Quran, dan Rasulullah saw di dalam hadis baginda. Adapun yang selebihnya tidak kita ketahui.
Iblis juga beriman dengan tauhid ini. Firman Allah swt “Dia (Iblis) berkata: Maka dengan KEKUATANMU, (aku bersumpah) akan aku sesatkan mereka (Adam as dan keturunannya) kesemuanya”.
Perhatikan bahawa Iblis bersumpah menggunakan nama dan sifat Allah, iaitu kekuatan (‘Izzah), dan ini merupakan sebahagian dari nama dan sifat Allah. Maka kerana itu, kita katakana bahawa bukan tauhid ini yang kita selitkan di dalam syahadah kita.
iii) tauhid uluhiyyah, iaitu tauhid yang bersifat ‘Ilah. Perhatikan di dalam perbincangan di atas, ‘Ilah itu bermaksud ‘tiada Tuhan yang selayaknya disembah’. Maka dengan itu, pengertian tauhid ini ialah tauhid mengesakan Allah swt, dengan mengakui dengan hati kita bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang selayaknya disembah, dan ditujukan segala bentuk amalan kita, samada keimanan kita denganNya, solat, puasa, haji dan zakat kita, kesemuanya adalah demi Allah swt, tiada selain dariNya.
Tauhid inilah yang membezakan kita dengan orang kafir, kerana hanya orang Islam yang mukmin sahaja yang menujukan segala ibadah mereka hanya kepada Allah Yang Satu.
Maka dengan itu, tauhid jenis inilah, yang kita sertakan di dalam ucapan kita, “Tiada Tuhan yang selayaknya ditujukan segala ibadah kita, melainkan kepada Allah”.
Adapun syahadah kedua, ‘Muhammadur Rasulullah’, ia tidak mempunyai perbahasan yang kukuh dan mendalam sepertimana halnya syahadah pertama.
Ini adalah kerana Yang Esa itu hanyalah Allah swt, adapun para rasul datang dengan silih berganti. Ucapan Muhammad Rasulullah merupakan ucapan yang khas bagi kita umat Muhammad. Ini kerana ucapan beriman dengan rasul ini, silih berganti dengan nabi yang diutuskan kepada umat tersebut.
Sebagai contoh, umat nabi Nuh as akan mengucapkan ‘was asyhadu anna Nuh Rasulullah”, ‘dan aku bersaksi bahawa Nuh itu rasulullah’. Begitu juga dengan umat Musa as, ‘was asyhadu anna Musa Rasulullah’, umat nabi Isa as ‘was asyhadu anna Isa Rasulullah’, dan begitulah dengan kita, ‘was asyhadu anna Muhammada Rasulullah’.
Maka andaikata kita cuba menghuraikan dua kalimah syahadah secara terperinci, maka ianya adalah:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang selayaknya aku tujukan segala bentuk amal ibadahku, dari hatiku, lidahku, amalanku, melainkan kepada Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah, yang telah Allah lantik untuk menyampaikan risalah dan syariatNya, dan dengan pengakuan ini aku cerminkan di dalam setiap tingkah laku seharianku sebagai orang yang berserah diri kepada Allah dan mengikuti ajaran Rasulullah saw”.
Persoalan terakhir, apakah kaitannya di antara dua kalimah syahadah dan amal ibadah kita?
Mengikut  pandangan yang dikemukakan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah. Beliau menyebut bahawa syarat diterima ibadah kita oleh Allah swt, mempunyai dua syarat yang boleh kita fahami dari dua kalimah syahadah yang mana kita berpegang dengannya, iaitu:-
i) dari syahadah pertama, la ilaaha illa Allah, terkandung di dalamnya ikhlas. Dan ikhlas yang dimaksudkan di dalam pengertian syariat ialah tauhid, bukan ‘membuat sesuatu tanpa mengharapkan balasan’. Itu cuma merupakan istilah awam yang kita guna pakai seharian.
Ertikata ikhlas yang sebenar, sebagaiman firman Allah swt, “Dan tidaklah mereka (manusia) itu diarahkan (dengan sesuatu), melainkan agar mereka menyembah Allah dengan hati yang ikhlas kepadanya, agama yang murni”.
Al-Quran sendiri telah menafsirkan ertikata ikhlas ini, di dalam surah yang sangat masyhur, iaitu “Qul huwaallahu ahad, Allahus samad, Lam yalid walam yuulad, walam yakuullahu kufuan ahad”. ((Katakanlah (hai Muhammad) bahawa Allah itu Esa, Allah tempat meminta, Dia tidak melahirkan (anak) dan tidak pula Dia dilahirkan (oleh ibu atau bapa), dan tidak ada baginya saingan walau seorangpun)).
Perhatikan bahawa kandungan surah ini padat dengan ajaran tauhid, dan nama bagi surah ini ialah AL-IKHLAS. Maka jelas, bahawa erti al-ikhlas yang paling tepat ialah AT-TAUHID.
ii) syahadah yang kedua mengandungii maksud ‘ittiba’, iaitu mengikuti cara dan garis panduan yang telah digariskan oleh pesuruh Allah, Muhammad Rasulullah saw. Sesungguhnya Allah lah yang menurunkan kepada Rasulullah, apakah ibadah yang Dia mahukan dari hambaNya, bagaimanakah ibadah tersebut, dan bagaimanakah cara perlaksaan ibadah tersebut. Seterusnya Rasulullah saw menunjukkan kepada kita bagaimana cara perlaksanaannya, maka WAJIBLAH bagi kita mengikuti secara tepat cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Ini kerana andai kita cuba melakukan sesuatu selain dari yang diajarkan Rasulullah, bererti kita telah lari dari konteks yang Allah mahukan dari kita, atau dengan kata lain, ibadah kita tidak diterima.
Benarlah sabda Nabi saw di dalam menyokong hal ini, di dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari kami (iaitu bukan dari contoh yang ditunjukkan Nabi saw dan para sahabat) maka amalan itu tertolak (tidak diterima Allah)”. Juga sabda baginda saw “Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam hal kami ini (iaitu Islam) maka ianya tertolak (tidak diterima Allah)”.
Kerana itu, Ibnu Qayyiim menyimpulkan bahawa dua syarat diterima ibadah ialah, 1)isi hati yang tauhid kepada Allah swt, dan 2) mengikut cara ibadah yang ditunjukkan Muhammad Rasulullah saw.
Sambung Imam Ibnu Qayyim juga, syirik itu adalah musuh ketat dan lawan kepada tauhid, oleh itu sesiapa yang berlaku syirik kepada Allah, bererti dia telah mengingkari pengakuaanya syahadahnya yang pertama. Kerana itu kita dapati bahawa amalan syirik merupakan amalan yang mengeluarkan seseorang itu dari Islam.
Begitulah juga, lawan dan musuh ketat bagi mengikuti cara Rasul saw, ialah bidaah (iaitu mengada-adakan bentuk ibadah yang baru, yang tidak pernah ditunjukkan rasul saw). Maka sebagaiman syirik adalah pembatal syahadah pertama, amalan bidaah merupakan pembatal syahadah kedua.
Kesimpulannya, syirik dan bidaah, merupakan musuh no 1 bagi setiap Muslim yang beriman dengan Allah, RasulNya dan Hari Pembalasan.